70% Belia Dapat Pekerjaan Menerusi "Skills Malaysia"


SUNGAI SIPUT – Sejumlah 70 peratus golongan belia yang berkunjung ke program ‘Skills Malaysia’ anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia berjaya memperoleh pekerjaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JPK, Dr Mohd Rashid Buyong Hamzah berkata program tersebut menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada golongan belia dalam agensi kerajaan dan swasta bersesuaian dengan minat, kemahiran dan kelulusan yang dimiliki pemohon.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti, berkemahiran, berpengetahuan, inovatif, sekali gus mampu menghadapi saingan global serta relevan dengan keperluan pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri program ‘Skills Malaysia’ Negeri Perak 2017 yang bermula sejak semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, di sini semalam.

Katanya, antara kekosongan jawatan yang ditawarkan ialah juruteknik, perunding takaful, perkhidmatan pelanggan, operator pengeluaran, pengawal keselamatan serta kerani.

Selain menawarkan peluang pekerjaan, program itu turut menyediakan tawaran pengajian dalam pelbagai bidang kemahiran antaranya automotif, operasi pemesinan, teknologi kimpalan, teknologi elektrik, teknologi komputer, jahitan serta urutan terapi. – BERNAMA