9 Warga Malaysia Di Korea Utara Sah Dibebaskan


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara telah dibenarkan meninggalkan negara itu 7.45 malam waktu Malaysia.

Khabar gembira tersebut disampaikan oleh Najib melalui satu kenyataan media khas sebentar tadi.  Beliau kini berada di India untuk lawatan rasmi selama enam hari.

“Alhamdulillah, mereka berlepas dari Pyongyang hari ini pada jam 7.45 malam waktu Malaysia, dan akan mendarat di KLIA esok sekitar jam 5 pagi,” kata Najib.

Korea Utara sebelum ini menahan pegawai Kedutaan Besar Malaysia bersama keluarga mereka di Pyongyang sebagai satu tukaran untuk beberapa warganya yang dikehendaki di Malaysia.

Ia berkaitan misteri kes pembunuhan berprofil tinggi, Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-un di Klia2, Sepang, Selangor pada 13 Februari lalu.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan rundingan untuk membebaskan kesemua sembilan rakyat Malaysia itu yang diketuai oleh Kementerian Luar.

“Saya sangat bimbang mengenai perkara ini, kami bekerja secara intensif di belakang tabir untuk mencapai kejayaan ini.

“Banyak cabaran yang diatasi untuk memastikan kepulangan mereka. Keselamatan dan keselamatan rakyat kita akan sentiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.

Antara mereka ialah penasihat Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang, Mohd. Nor Azrin Md Zain serta isterinya, Iza Karmila Ramli selain anak pasangan tersebut iaitu Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah dan Ayscha Zinnirah.

Juga pegawai tadbir di pejabat Kedutaan Besar Malaysia, S. Nirmala Malar Kodi. Sebelum itu, dua warga Malaysia yang bertugas dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu di negara komunis tersebut sudah pun dibebaskan.

Berikutan perkembangan positif terbaharu itu kata Najib, pihak berkuasa Malaysia kini mula membenarkan mana-mana warga negara Korea Utara untuk bebas meninggalkan Malaysia.

“Di samping itu, berikutan selesainya bedah siasat ke atas si mati dan penerimaan surat daripada keluarganya meminta mayat dikembalikan kepada Korea Utara.

“Pihak koroner telah meluluskan pelepasan badan,” katanya merujuk mayat individu dipercayai bernama Jong-nam yang ditempatkan di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.

Jelas beliau, pihak kerajaan amat menyokong prinsip-prinsip keadilan dan kedaulatan. Siasatan polis terhadap jenayah serius itu Malaysia bagaimanapun akan diteruskan seperti biasa.

“Saya telah mengarahkan untuk semua langkah yang mungkin perlu diambil untuk membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan ini ke muka pengadilan.

“Sebagai Perdana Menteri, saya bersyukur kerana semua rakyat Malaysia bersatu untuk mengatasi krisis ini,” ujar beliau. –Kedahnews.com