Abdul Hadi Nafi Fitnah Dakwa PAS Sasar 5 Negeri


CYBERJAYA - Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan kononnya yang hanya mahu PAS menguasai negeri tertentu di negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, dakwaan tersebut yang mendakwa beliau  pernah mengeluarkan kenyataan kononnya PAS hanya perlu memerintah di lima buah negeri adalah fitnah ke atas dirinya semata-mata.

"Saya tak pernah buat kenyataan itu...benda akan datang kita tak tahu, tiga negeri, 10 negeri, satu negeri itu keputusan pilihan raya kita boleh buat keputusan sebelum pilihan raya," katanya kepada media selepas menghadiri Konvensyen Profesional Malaysia, di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai fitnah tersebut, Abdul Hadi berkata, apa yang penting dalam PRU ke-14 nanti ialah PAS mahu meletakkan sasaran untuk mencapai menang di 40 kerusi.

"Cuma dasar PAS mahu capai 40 kerusi," tegasnya.

Sebelum itu, sebuah portal melaporkan sebuah rakaman video Abdul Hadi berdurasi 55 saat mendakwa negeri-negeri lain biarlah dikuasai UMNO dan BN menjadi tular.

Difahamkan video berkenaan telah menjadi mangsa manipulasi pihak tertentu berhubung maksud sebenar kenyataan asal yang dinyatakan oleh Presiden PAS itu. - Kedahnews.com