Ada Kawasan Mahu Putus Dengan PKR, Tapi PAS Kedah Enggan Dedah


ALOR SETAR – PAS Kedah dilaporkan turut akan membawa usul bagi mengkaji semula dan memutuskan hubungan tahaluf siyasi antara PKR selepas tindakan sama turut dilakukan PAS di Pulau Pinang dan Terengganu.

Pesuruhjaya Perhubungan PAS Negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi memaklumkan bahawa setakat ini sudah 11 kawasan telah selesai mengadakan mesyuarat tahunan, namun beliau enggan mendedahkan kawasan PAS yang bakal membawa usul tersebut.

"Setakat ini 11 daripada 15 PAS Kawasan di negeri ini sudah pun mengadakan mesyuarat agung tahunan sementara empat lagi akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.

"Ada beberapa PAS Kawasan yang membahaskan usul mengenai tahaluf siyasi bersama PKR dan perkara itu diluluskan untuk dibawa kepada jawatankuasa penapis usul di peringkat PAS Pusat,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.

Namun begitu, difahamkan bahawa PAS Kawasan Baling sebulat suara akan membawa usul berkenaan pada Muktamar parti yang bakal berlangsung April ini.

Menurutnya lagi, usul tersebut akan dibawa ke muktamar PAS yang akan di adakan di Kedah pada penghujung bulan April ini.

Sementara itu, difahamkan bahawa PAS kawasan Baling adalah antara 11 kawasan yang telah meluluskan usul tersebut dan mendapat persetujuan sebulat suara oleh semua ahli.

Terdahulu, pertelingkahan antara kedua parti tersebut bermula apabila PKR mengambil keputusan untuk terus bersama Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz mendedahkan mahu merampas Selangor dari pentadbiran PKR dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Kemelut antara PKR dan PAS semakin memuncak apabila Azmin membidas kenyataan Nik Abduh apabila menyindirnya di laman sosial Twitter dengan memuat naik kenyataan  'Ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur'.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan pemimpin-pemimpin dan anggota PAS serta riaksi dari pelbagai pihak.-Kedahnews.com