Agihan Dekoder Percuma MYTV Kini Masuk Fasa Ke-2 Di Kedah


ALOR SETAR - MYTV kini dalam proses membina 46 menara pemancar baharu di beberapa negeri terlibat iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang dibawah Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional dengan pemberian set dekoder percuma yang telah memasuki fasa kedua.

Dalam fasa pertama, sebanyak 14 menara pemancar telah dibina di empat buah negeri ini dan bakal direalisasikan sepenuhnya tahun depan.

“MYTV telah diamanahkan supaya memastikan peralihan ini dapat dilaksanakan pada 2018. Menerusi fasa pertama, sebanyak 14 menara pemancar telah dibina. MYTV kini dalam fasa kedua iaitu membina 46 menara baharu di beberapa negeri terlibat iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Maknanya proses migrasi (peralihan) kepada siaran televisyen (TV) digital ini bergerak sepertimana direncanakan untuk beroperasi sepenuhnya pada Jun 2018," ujar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, memetik laporan Bernama.

Menurut Jailani, sebanyak 270,000 set dekoder percuma telah diedarkan setakat ini dan jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada dua juta set dekoder percuma yang akan diberikan kepada isi rumah terpilih khususnya bagi penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di seluruh negara.

"Migrasi ini membolehkan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah menikmati siaran TV digital.

"Setakat ini ada 10 pemain industri terlibat antaranya Bernama News Channel, Media Prima, TV Al-Hijrah dan Radio Televisyen Malaysia (RTM)," ujar Jailani ketika merasmikan Simposium Penyiaran Digital Persatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2017,  yang melibatkan  850 peserta didalam dan luar negara kelmarin. - Kedahnews.com