Ahli PPBM Gusar Kehadiran Jelajah Penerangan UMNO Di Jerlun?


JERLUN – Program Jelajah Penerangan UMNO di Parlimen Jerlun semalam dilaporkan telah menimbulkan rasa gusar para penyokong pembangkang di kawasan tersebut terutamanya ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

Difahamkan ada sebilangan mereka yang memantau rapi kehadiran Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dan rombongannya dengan mengekori mereka dengan beberapa buah motorsikal.

Malah, dilaporkan ada di kalangan mereka yang bertindak nakal yang terdesak melakukan provokasi dengan meletakkan pelekat logo PPBM di kenderaan rasmi UMNO yang digunakan bagi program tersebut.

Mengulas mengenai "tingkah laku pelik" ahli parti yang baru ditubuhkan itu, Annuar menyifatkannya sebagai satu perkara biasa memandangkan UMNO hadir di kawasan yang diwakili oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Ini perkara biasa sebab kita datang di kawasan Datuk Seri Mukhriz. Mungkin mereka melihat ini sebagai satu ancaman kepada tempat yang dianggap sebagai kubu mereka.

“Tapi bagi saya tak ada masalah…,” ujarnya memetik laporan sebuah portal.

Menjelaskan mengenai perjumpaan santai bersama penduduk di Jerlun pula Annuar berkata, program ini membuka peluang untuk UMNO melihat sentimen di sini sekaligus meninjau sejauh mana "sentimental engagement" yang ada di parlimen berkenaan.

“Saya gembira kerana rata-rata masih lagi mempunyai sikap sayangkan parti dan menunjukkan sikap positif serta keterbukaan mungkin kerana pemimpin akar umbi yang terus menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Jadi ini adalah satu peluang yang baik untuk kita melihat dari dekat di peringkat bawahan terutama di kawasan Mukhriz,” ujar beliau.

Dalam program itu, beliau juga sempat bermain sepak raga bersama golongan muda di kawasan berkenaan walaupun hanya berkain pelikat. – Kedahnews.com