TANJUNG DAWAI - Desas-desus yang mengatakan ura-ura Penasihat DAP, Lim Kit Siang, akan bertanding di salah satu kawasan Parlimen di negeri ini amat dialu-alukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Beliau berkata, sekiranya Ahli Parlimen Gelang Patah itu berhasrat untuk tidak mempertahan kawasan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, dia boleh bertanding di Parlimen mana yang disukainya.
"Lim Kit Siang? Nak bertanding di Kedah? Silakan...," katanya kepada Kedahnews.com di sini, semalam.
Namun tegas Ahmad Bashah, sekiranya benar Penasihat DAP itu mahu tinggalkan Gelang Patah, ia menunjukkan bahawa dirinya merupakan seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyat di kawasan tersebut.
"Inilah contoh seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap kawasan yang mana dia dipilih oleh rakyat di kawasan itu, tapi dia tak bertanggungjawab.
"Tiap-tiap kali pilihan raya, dia berpindah-randah. Jenis pemimpin beginilah yang rakyat perlu nilai semula (untuk dipilih pemimpin). Dia lima tahun sekali, dia pindah (kawasan).
"Orang Kedah kata, dia buat 'tahi' kat situ, dia pindah pula pi tempat lain. Itu bukan kriteria seorang pemimpin yang baik," ujar beliau, membidas veteran DAP itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Bashah menegaskan bahawa beliau tidak pernah berpindah dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Bakar Bata selama lima penggal berturut-turut bagi memikul tanggungjawab dan amanah rakyat di kawasan berkenaan.
Jelas beliau, berkemungkinan Kit Siang tidak menjalankan tugas memberi khidmat kepada rakyat kawasan-kawasan yang diwakilinya telah menyebabkan pengundi marah padanya dan terpaksa bertanding di kerusi yang dianggap "selamat" untuknya.
"Saya dah duduk di kawasan saya (Dun Bakar Bata) selama lima penggal. Saya tak berganjak. Saya menang atau kalah, saya duduk dan buat kerja untuk rakyat dalam kawasan itu. Itu barulah kita ada rasa tanggungjawab terhadap rakyat.
"Dia dok pilih di mana kawasan yang 'selamat'. Dia dipilih di kawasan tu, dia tak buat kerja untuk rakyat, dia tahu orang marah padanya, lepas tu dia pindah bertanding ke tempat lain. Ini pemimpin apa?
"Rakyat kena nilai pemimpin yang macam ini," ujar beliau. - Kedahnews.com