Aidil Hanya Minum Milo Sejak Usia 6 Bulan Hingga 31 Tahun


ALOR SETAR - Mohd Aidil Amri Saaidin, hanya minum air milo sejak usianya enam bulan sehingga kini, umurnya sudah mencecah 31 tahun.

Tabiat pelik Mohd Aidil dikesan ibunya, Zaiton Hashim, 58, ketika dia berusia enam bulan apabila tidak boleh menerima makanan pepejal seperti bubur nasi dan nestum bayi dan hanya mahu minum susu dan milo sahaja.

Menurut Pakar Diet Pusat Pakar Perubatan Kedah (KMC), Mohd Khir Izwan Ariffin, ini adalah kes pertama yang beliau pernah temui setakat ini.


Jelasnya, walaupun milo tersebut dapat berikannya tenaga tapi jumlah karbohidrat yang terdapat dalam minuman tersebut dikhuatiri akan memberi kesan buruk ketika dia menjangkau usia 40-an.

Memetik laporan BH Plus, selain dari 8 gelas besar milo sehari, Mohd Aidil juga hanya minum sup dan tomyam kosong tanpa lauk serta air jus yang ditapis untuk tenaga sehariannya.

Sama juga dengan ubat-ubatan, Mohd Aidil hanya makan ubat cecair sahaja dan akan menghancurkan ubat berbentuk pil dan campur dengan air baru diminum.


Oleh kerana itu, Mohd Aidil digelar ‘budak milo’ di kalangan rakan-rakan sekolahnya sehingga kini.

“Bagi orang lain, mungkin saya nampak pelik, namun itulah diri saya. Alhamdullilah lapan gelas air milo membekalkan tenaga dan zat yang cukup buat diri saya bergerak aktif seperti orang lain,” jelas Aidil yang bekerja sebagai pereka grafik. -Kedahnews.com