Norhashimah menunjukkan sebahagian ruang dapur yang rosak dan basah akibat atap bumbung diterbangkan angin |
KULIM - "ALLAH lindung kami anak beranak," demikian luahan suri rumah, Norhashimah Hashim, 38, yang masih trauma dengan kejadian angin kencang yang melanda rumahnya di Ladang Sungai Seluang, petang kelmarin.
Katanya, kejadian berlaku ketika dia berada di ruang tamu sambil mendukung cucunya.
"Ketika itu sudah lewat petang, hujan turun dengan lebat sekali dan berangin.
"Tiga lagi anak saya turut berada bersama saya di ruang tamu sedang berehat, tiba-tiba saya terdengar bunyi angin kuat di atas bumbung," katanya.
Menurutnya, dengan sekelip mata atap bumbung di sebahagian ruang tamu diterbangkan angin dan dua keping lagi atap zink di bahagian depan telah terjatuh ke dalam rumah.
"Memang begitu cepat sekelip mata saja berlaku. Saya terkejut tiba-tiba atap zink terangkat ada yang terjatuh masuk ke dalam rumah di tempat saya berdiri nasib baik saya sempat selamatkan diri.
"Saya juga sempat memanggil anak-anak untuk lari selamatkan diri, Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan berlaku,"katanya.
Dalam pada itu, bapanya, Hashim Bakar, 65 yang juga pesakit strok berada di anjung rumah dan hanya mampu melihat atap bumbung diterbangkan angin.
"Petang itu saya berehat di luar rumah, hujan pada mulanya turun memang lebat tapi angin tidak lah begitu kuat.
"Tidak berapa minit saja tiba-tiba angin bertukar kencang dengan sekelip mata saya nampak atap di anjung rumah terangkat diterbangkan angin.
"Saya yang duduk di anjung rumah ini memang terkejut kalau nak masuk dalam rumah pun memang tak sempat kerana saya hanya boleh berjalan bertatih akibat strok.
"Tapi ALLAH nak lindung saya, di bahagian saya duduk itu atap tidak diterbangkan, angin kuat itu sekali lalu saja, memang tak sempat nak buat apa-apa,"katanya.
Tambahnya, dalam kejadian angin kencang itu sebahagian dapur, ruang tamu dan anjung telah rosak.
"Lebih 20 keping juga atap yang telah diterbangkan, buku-buku sekolah cucu habis basah, anggaran kos baik pulih lebih RM5,000,"katanya.
Sumber: Sinar Harian