Anggota Jawatankuasa Penaja Pakatan Harapan Belum Diputus


GEORGE TOWN – Pakatan Harapan belum memutuskan siapa yang akan dilantik menganggotai jawatankuasa penaja gabungan pembangkang yang bakal dibentuk tidak lama lagi, kata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata setakat ini, belum ada pengesahan mengenai seanrai anggota jawatankuasa penaja itu, yang akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Kami belum membuat sebarang keputusan mengenainya kerana jawatankuasa penaja itu belum melantik pemegang jawatan. Perkara itu akan hanya diputuskan pada mesyuarat akan datang,” katanya pada sidang berita di sini, semalam.

Bagaimanapun, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata DAP sudah membuat keputusan tentang empat anggotanya yang akan menganggotai jawatankuasa berkenaan.

“Tetapi, saya tak boleh umumkannya sekarang, kami akan umumkan bersama-sama pemimpin Pakatan Harapan yang lain,” katanya.

Laporan sebuah portal dalam talian semalam menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai penasihat jawatankuasa penaja 16 anggota itu, yang akan dibahagi secara sama rata dalam kalangan empat parti pembangkang berkenaan.

Ditanya tentang hasrat 12 daripada 13 Kawasan PAS di Pulau Pinang untuk memutuskan hubungan dengan PKR baru-baru ini, Lim berkata perkara itu tidak memeranjatkan kerana ia (PAS) tidak mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan.

“Mereka (PAS) tidak mempunyai hubungan dengan DAP dan ini adalah tindakan asas mereka untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 12 daripada 13 Kawasan PAS di Pulau Pinang telah mengemukakan usul kepada parti itu untuk meminta kepimpinan pusat memutuskan hubungan dengan PKR.

Sementara itu, Lim juga mengumumkan pelantikan Dr Saw Leng Guan sebagai kurator baharu Taman Borani Pulau Pinang secara kontrak selama dua tahun, berkuat kuasa 1 April.

Beliau juga menyuarakan keyakinan penuhnya terhadap kemampuan Saw, bekas felo penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, untuk memulihkan keadaan taman botani bersejarah itu, yang diasaskan pada 1884 dan merupakan antara taman botani tertua di Asia Tenggara. – BERNAMA