Apple Hasilkan Buku "Mampu Milik" Berharga RM949


INGINKAN sebuah MacBook namun terpaksa membatalkan niat disebabkan harganya yang terlalu mahal?

Kini anda jangan khuatir kerana Apple Malaysia baharu sahaja mengeluarkan sebuah lagi “book” dengan harga yang tidak terlalu mahal.


Tidak seperti rekaan model-model lamanya yang memerlukan pengecasan bateri, ‘buku’ ini tidak memerlukan penjagaan yang sebegitu rapi dan ia di datangkan dengan rekaan yang begitu minimalis.

Memperkenalkan, sebuah buku fizikal yang dinamakan sebagai Designed by Apple in California.


Ia merupakan sebuah buku berkulit tebal yang menghimpun sejarah sepanjang 20 tahun seni reka bentuk yang dihasilkan oleh Apple.

Buku ini mengumpulkan lebih 450 koleksi gambar produk rekaan ikonik Apple antaranya iMac pada tahun 1998 hingga Apple Pencil tahun 2015.


Turut didokumentasikan adalah bahan dan teknik yang digunakan oleh pasukan rekaan Apple yang cukup berinovasi.

Jadi berapakah harga senaskah buku yang penuh dengan ciri-ciri premium dan kesenian ini?


Tidak mahal, ia ditawarkan melalui Apple Online Store Malaysia dengan harga USD199 (RM949) untuk saiz kecil dan USD299 (1350) untuk saiz besar.

Bagi pengguna tempatan yang meminati produk Apple, dan ingin mengetahui lanjut mengenai rekabentuk dan sebagainya mungkin anda boleh dapatkan buku ini dengan segera dan perlu diingatkan ia tidak didatangkan dengan servis waranti “Apple Care”. - Kedahnews.com