Arab Saudi, Malaysia Tubuh Pusat Keamanan Global


KUALA LUMPUR – Sebuah pusat keamanan global dikenali sebagai King Salman Centre for International Peace (KSCIP) yang berpangkalan di Malaysia akan diwujudkan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi bagi menangani penyebaran dakyah dan ideologi keganasan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pusat itu diwujudkan dengan kerjasama Pusat Ideologi Peperangan (IWC) di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi dan Institut Pertahanan dan Keselamatan (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.

“KSCIP bakal diuruskan secara bersama oleh Universiti Islam Sains Malaysia (USIM), manakala rakan kongsi strategik dari Arab Saudi yang turut terlibat dalam penubuhan KSCIP ialah Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia).

“KSCIP ditubuhkan bertujuan mengenal pasti kaedah terbaik bagi membendung penyebaran dakyah dan ideologi keganasan oleh golongan ekstremis dan kumpulan pengganas di seluruh dunia.

“Idea penubuhan KSCIP tercetus hasil perbincangan saya dan Timbalan Putera Mahkota Muhammad Salman yang bersependapat bahawa usaha membendung permasalahan ini tidak seharusnya terbatas kepada penguatkuasaan undang-undang dan operasi ketenteraan semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan input dan hasil kajian akademik yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Hishammuddin berkata, beliau tekah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan MiDAS untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi tujuan tersebut.

Jelas beliau, penubuhan Jawatankuasa Khas itu akan dibantu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

“Segala bentuk kerjasama itu hanyalah sebahagian daripada pelbagai lagi bentuk kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Arab Saudi yang dilaksanakan demi keamanan negara dan dunia,” katanya. -Kedahnews.com