AWAS..! Hampir 100 Akaun Laman Sosial Ustaz Kazim Palsu


IPOH – Jika anda berhasrat hendak menjadi rakan atau mengikuti tazkirah disampaikan Ustaz Kazim Elias menerusi media sosial, sila lebih berwaspada kerana mungkin menjadi mangsa!

Ini kerana dianggarkan terdapat hampir 100 akaun laman sosial dikesan sengaja mempergunakan nama pendakwah terkenal tersebut sehingga menyebabkan ramai terkeliru dan salah faham dengan kandungan disiarkan di situ.

Perkara yang cukup mengejutkan pelbagai pihak itu didedahkan sendiri oleh Datuk Mohammad Kazim Elias dalam satu sidang media khas diadakan di Pusat Pendidikan Al-Barakah, di Kampung Manjoi di sini, pada Jumaat.

Beliau yang juga pengasas dan pengetua institusi pengajian Islam itu malah terpaksa membuat laporan polis serta aduan rasmi kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini.

Mohammad Kazim, 44, berkata, laporan dilakukan selepas hampir 3.5 juta orang mengikuti status yang dimuat naik menerusi akaun palsu di laman sosial itu serta dikesan menggunakan namanya tanpa mendapat keizinan.

Katanya, kebanyakan status yang dimuat naik melalui akaun itu memaparkan hadis palsu, maklumat tidak benar, gambar tidak bersesuaian untuk tatapan masyarakat bahkan ada meminta derma untuk kepentingan peribadi.

“Perkara seperti ini jelas menjatuhkan imej saya sebagai seorang pendakwah kerana ada pihak yang kemudian menuduh konon saya berani menyebarkan beberapa hadis palsu kepada masyarakat menerusi laman sosial tertentu.

“Saya cuma mempunyai satu akaun Facebook dengan menggunakan nama Dato’ Mohd Kazim Elias,” katanya yang mula menjadi penceramah agama di stesen Perak FM sebelum muncul dalam pelbagai program di televisyen.


Antara akaun Facebook palsu yang dikesan mengaitkan beliau ialah Nasihat Ustaz Kazim, Tazkirah Ustaz Kazim Elias, My Idola Datuk Ustaz kazim Elias, Koleksi Kata Nasihat Ustaz Kazim Elias dan ustaz kazim elias.

Juga tidak ketinggalan ialah Koleksi Kuliah Ustaz Kazim Elias, Ustazah Mohd Kazim Elias Himpunan Kata-kata Hikmah, We Love Ustaz Kazim Elias, Geng Ustaz Kazim & Krew Al-Barakah dan banyak lagi akaun.

Pada 6 Mac 2015 lalu, Mohammad Kazim turut mengadakan sidang akhbar sama untuk menafikan pernah ada sebarang akaun rasmi Twitter waima aplikasi laman sosial lain seperti Instagram, WhatsApp atau Telegram.

Katanya ketika itu, tindakan pihak tidak bertanggungjawab sengaja mewujudkan akaun Twitter palsu tersebut disyaki memang bertujuan jahat mahu menjatuhkan kredibilitinya atau mungkin menumpang populariti dirinya

Tambahnya lagi, hanya ada satu akaun rasmi Facebook tersebut diwujudkan untuk memudahkan beliau menjawab segala persoalan berhubung isu semasa yang dibangkitkan oleh ribuan pengikutnya menerusi laman sosial.

“Setakat ini, saya ada seramai 1.7 juta pengikut di Facebook saya,” kata Mohammad Kazim. Akaun palsu itu juga memaparkan komen negatif terhadap dirinya, sekali gus boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai pendakwah.

Tinjauan sebuah portal tempatan Peraktoday.com.my mendapati terdapat 16 akaun Twitter palsu menggunakan nama Ustaz Kazim Elias dengan rata-ratanya mempunyai ramai pengikut. – Agensi