Azmin Hina Nik Abduh Dengan Gelaran "Tok Lebai"?


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencemuh pemimpin PAS sebagai Tok Lebai yang sedang memasang hasrat untuk berkuasa di Selangor.

Beliau melalui akaun Twitter berkata, Tok Lebai terbabit tewas di tempat sendiri tetapi ada hati mahu merampas kerajaan Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ada Tok Lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah,” kata Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.

Cemuhan Azmin ke atas PAS itu mendapat sokongan padu ahli dan penyokong Pakatan Harapan di media sosial.

PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) merupakan anggota parti Pakatan Harapan yang diketuai oleh parti sekular DAP.

Kenyataan Azmin itu kemudian dimuat naik Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di laman Facebook beliau.

Mengulas kebiadapan Mohamed Azmin itu, Nik Mohamad Abduh mengesahkan beliau antara pemimpin PAS yang digelar sebagai Tok Lebai oleh Menteri Besar Selangor tersebut.

“Wah sinisan saya dapat komentar Menteri Besar. Jarang anak Melayu bertuah begini,” katanya.

PAS sebelum ini menyasarkan untuk menang lima negeri dalam pilihan raya umum ke-14 termasuk Selangor. –Kedahnews.com