Azmin Patut Selamatkan Selangor, Jangan Menyibuk Di Kedah


ALOR SETAR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dibidaskan supaya menyelamatkan negeri Selangor terlebih dahulu sebelum menyibuk dan masuk campur dalam urusan negeri lain.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Azmin patut menjaga hal politik negeri masing-masing dan tidak cuba untuk mengaitkan jawatannya dengan pemecatan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir tahun lalu.

“Dia beri kenyataan ini semata-mata untuk mengalih perhatian serta fokus rakyat. Sebelum ini Azmin juga mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bukankah ia juga disebabkan krisis dalaman parti terbabit.

“Jadi dia tak perlu sibuk pasal UMNO, mereka ini terdiri daripada ahli UMNO yang keluar parti, mereka tiada semangat memperjuangkan parti,” katanya.

Tambah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu, beliau percaya bahawa tindakan Azmin yang cuba masuk campur perihal politik di Kedah adalah bagi mengelirukan rakyat dan cuba meraih sokongan memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14 dikatakan semakin hampir.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis perasmian Pameran Pendidikan Tamadun Islam Mendahului Zaman : Artifak Rasulullah dan Para Sahabat di Muzium Negeri, Alor Setar, semalam.

Terdahulu, Azmin mengeluarkan kenyataan mempertikaikan mengenai krisis pertukaran Menteri Besar Kedah yang berlaku antara Ahmad Bashah dan Mukhriz.

Beliau juga turut menyatakan keyakinan bahawa krisis tersebut bakal menjadi penyumbang kepada sokongan undi kepada Pakatan Harapan pada PRU ke-14 kelak. – Kedahnews.com