Azraai Khor Nafi Dilamar KLFA


PETALING JAYA - Bekas jurulatih Sabah FA, Mohd Azraai Khor Abdullah menafikan khabar angin yang mengaitkannya bersama pasukan Kuala Lumpur.

Menurut Mohd Azraai, 64, dia tidak tahu mengenai perkara itu malah tidak menerima tawaran dari mana-mana pasukan setakat ini.

"Tidak ada sebarang tawaran setakat ini. Kalau betul, pastinya saya akan bertemu dengan pihak pengurusan untuk berbincang mengenainya. Saya tidak ada apa-apa halangan untuk menguruskan pasukan ini ," ujarnya.

Hari ini, laman Facebook sebuah kelab bola sepak memuatnaik gambar tiga calon jurulatih yang bakal menguruskan pasukan Liga Perdana ini termasuk Mohd Azraai, Fandi Ahmad (Lions XII) dan bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan.

Mohd Azraai kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir menguruskan skuad Sabah pada tahun 2015.

Teka-teki mengenai pengendali baharu City Boys masih menjadi tanda tanya selepas kontroversi lesen kejurulatihan Wanderley Junior tidak diperakui oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sejak bulan lalu.

Sebagai rekod, pasukan Kuala Lumpur kini berada di tangga keenam liga dengan mengutip sebelas mata selepas tujuh perlawanan.

Sumber: mStar