Baju Melayu Arwah TG Haron Din Dilelong RM3,500

ABDUL Hadi menyerahkan baju Melayu milik Allahyarham Datuk Dr Haron Din kepada Muhammad Hanif Jamaluddin selepas sesi lelongan.
KUALA LUMPUR - Baju Melayu yang pernah dipakai oleh bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din, dilelong pada harga RM3,500.

Lelongan baju Melayu berwarna hijau lengkap dengan seluar, sampin dan butang itu pada mulanya dilelong pada harga RM400, sebelum dibida lebih 10 kali, termasuklah oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sesi lelongan dikendalikan aktivis PAS yang juga bekas pelakon, Bob Lokman itu berakhir apabila pengarah urusan sebuah syarikat perunding, Muhammad Hanif Jamaluddin, 30, membida pada harga RM3,500.

Baju Melayu itu kemudian disampaikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dilihat mengusap pakaian itu beberapa kali sebelum menyerahkannya kepada Muhammad Hanif.

Lelongan itu diadakan sempena majlis Makan Malam Dan Dialog Politik Bersama Presiden PAS di sini, semalam.

Muhammad Hanif ketika ditemui berkata, beliau sudah berhasrat untuk mendapatkan baju Melayu milik Haron ketika bidaan pertama dibuat pada bulan lalu.

"Nilai RM3,500 itu sangat berbaloi jika dibandingkan pengorbanan Tok Guru Haron Din kepada Islam, seluruh jiwanya diabadikan pada Islam," katanya.

Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, pada 16 September tahun lalu akibat komplikasi jantung.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California, Amerika Syarikat.

Sumber: BH Online