"Balasan Setimpal" Jika Pyongyang Disenaraihitam - Korea Utara


PYONGYANG - Korea Utara memberi amaran keras bahawa akan memberi 'balasan setimpal' kepada Amerika Syarikat (AS) jika negara Barat itu meletakkan Pyongyang dalam senarai hitam Negara Penaja Keganasan.

"AS perlu sedar tentang balasan yang akan dikenakan keranan mengeluarkan tuduhan tidak berasas kepada Korea Utara," jelas Kementerian Luar negar itu menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Kementerian terbabit menambah, zaman AS menindas negara lain juga sudah berakhir.

"AS mahu melabelkan Korea Utara menaja keganasan sedangkan mereka sendiri memiliki persamaan dengan dakwaan (keganasan) itu," jelas kenyataan tersebut.

Korea Utara pernah diletakkan dalam senarai tersebut apda 1998 selepas didakwa terlibat dalam kes pengeboman pesawat Korea Airlines, tetapi Pyongyang dikeluarkan dari senarai tersebut pada 10 tahun kemudian.

Bulan lalu, timbul laporan yang mendakwa Korea Utara sekali lagi akan dikenakan tindakan sama susulan kes pembunuhnan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un di Malaysia.

Menurut agensi berita Yonhap, Jabatan Negara AS mempertimbangkan cadangan untuk meletakkan semula Korea Utara dalam senarai hitam tersebut.

"Wujud pandangan untuk menyelesaikan kes ini (pembunuhan Jong-nam) yang dilihat sebagai tindakan keganasan," kata Yonhap yang memetik kenyataan pegawai kerajaan Korea Selatan yang enggan dinamakan.

Sumber: mStar