"Barisan Rakyat" Ditolak, Tetap Guna Nama Pakatan Harapan


ALOR SETAR - Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan semalam telah mencapai persetujuan untuk terus menggunakan nama Pakatan Harapan bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Keputusan tersebut sekaligus menolak kehendak anggota baru gabungan pembangkang itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang sebelum ini mencadangkan supaya menggunakan nama baru, Barisan Rakyat.

 Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata, buat masa sekarang ini nama “Pakatan Harapan” adalah yang paling sesuai dan pihak mereka tidak akan menukarkannya kepada nama lain.

“Keputusan daripada mesyuarat hari ini (semalam) ialah kami akan mendaftarkan Pakatan Harapan di mana 18 orang pimpinan tertinggi namanya akan dimasukkan.

“Itu keputusan yang kita buat hari ini,” kata Mohamad, atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di pejabat Ketua Pembangkang Malaysia, di bangunan Parlimen setelah selesai bermesyuarat bersama kepimpinan utama DAP, PAN, PKR dan PPBM, petang semalam.

Selain itu, Mat Sabu turut menjelaskan bahawa pakatan pembangkang telah bersetuju dengan cadangan menggunakan satu logo dan manifesto dalam pilihan raya akan datang walaupun cadangan penukaran nama baharu tidak dipersetujui.

Difahamkan bahawa mesyuarat tersebut telah memutuskan  bakal mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) ekoran jalinan kerjasama baru bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan tersebut. – Kedahnews.com