Batu Meteor 33 Tan Jadi Hadiah Lamaran


Seorang lelaki dilaporkan telah melamar kekasihnya dengan cara yang pelik, iaitu dengan mempersembahkan kepada wanita itu batu meteor seberat 33 tan dengan nilai lebih RM540,000.

Lelaki kaya itu, Liu Fei pada mulanya menyembunyikan batu berkenaan dengan menutupnya menggunakan kain ketika melamar wanita itu di tengah bandar Urumqi, di Xinjiang.

Selepas teman wanitanya, Wang Fangfang, 30, menerima lamaran berkenaan, barulah dia membuka kain penutup batu terbabit. Sejambak bunga serta cincin turut dihadiahkan kepada Wang.

Menurut Liu, dia dan Wang pertama kali menyaksikan batu meteor tersebut ketika mereka berkunjung ke Kashgar untuk bercuti.

Batu itu disimpan oleh seorang pengumpul koleksi batu meteor.


Liu kemudiannya telah berunding dengan pengumpul koleksi terbabit secara rahsia tanpa pengetahuan Wang.

“Batu ini adalah simbol cinta kami. Ibu bapa kedua pihak telah bertemu dan gembira. Kami merancang untuk mendaftar perkahwinan pada Oktober ini,’’ katanya. – Kedahnews.com