"Bawak Mai La Nak Tengok 4,000 Ahli Di Pendang Tu.." - Suraya


ALOR SETAR - Dakwaan sebelum ini yang digembar-gemburkan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendapat sambutan hangat di Pendang dipersoal Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaakob.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu berkata, ia hanyalah sekadar dakwaan sahaja yang tidak disertakan dengan fakta sahih dan hingga kini masih gagal dibuktikan oleh jentera propaganda parti baru berkenaan.

"Depa kata ada 4,000 ahli di Pendang. Kita kata bawak mai la nak tengok yang 4,000 ahli yang dikatakan tu," katanya menyindir tajam propaganda yang dimainkan jentera parti berkenaan di sekitar Parlimen Pendang.

Suraya ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif sejurus selesai menghadiri mesyuarata Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Wisma Darul Aman, lewat petang semalam.

Mengulas mengenai persediaan jentera Wanita UMNO Bahagian Pendang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Suraya menjelaskan bahawa segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang dan kini telah memasuki fasa ke-empat.

Katanya, Wanita UMNO Pendang yang diketuainya begitu bersemangat bergerak melakukan aktiviti parti ekoran "cakap besar" dari parti PPBM yang berhasrat mahu menawan Pendang pada PRU ke-14 nanti.

"Kita dah masuk fasa ke-empat dah," katanya yakin dengan gerak kerja dan kerja keras akar umbi yang tekad mempertahan kerusi BN di situ.

Suraya sebelum ini menang di Dun Sungai Tiang dengan majoriti 6994 undi apabila berjaya mendapat sebanyak 18,929 undi berbanding tiga pencabarnya, Fadzil Baharum (PAS) 11,935 undi, Rosli Omar (Bebas) 192 undi dan Charean a/l Isen (KITA) 139 undi, dalam pertandingan 4 penjuru.

Selain itu, Suraya turut menyindir pihak yang mencetus fitnah politik terbaru di Kedah baru-baru ini yang menyebarkan beberapa senarai nama yang dicanang kononnya "cadangan senarai calon BN Kedah" untuk PRU ke-14 yang dikatakan "bocor".

"Saya rasa pelik sangat, inilah pertama kali senarai nama (calon BN) dikeluarkan. Sedangkan masih tempoh masa boleh dikatakan masih jauh dan belum ada apa-apa pengumuman mengenai pilihan raya dibuat.

"Saya sudah kali ketiga dicalonkan sebelum ini, tak pernah lagi jadi begini. Namun kalau kita lihat betul-betul, ia mempunyai pelbagai versi.. banyak sangat versi senarai," katanya sinis, membayangkan senarai-senarai tersebut hanyalah palsu semata-mata.

Sebelum ini tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp berhubung senarai nama yang dikatakan "bocor" membabitkan nama-nama yang dicadangkan sebagai calon BN di Kedah bagi PRU ke-14.

Walau bagaimanapun, sebaran berunsur fitnah itu pantas dinafikan Pejabat Menteri Besar Kedah yang menegaskan tiada sebarang senarai calon dikeluarkan dari pihak BN dan senarai tersebut hanya merupakan propaganda politik pihak tertentu yang mahir menggunakan taktik kotor menipu minda rakyat di negeri ini. -Kedahnews.com