Bekas Anggota Polis Maut Jatuh Tingkat 7 Hotel


KUALA LUMPUR – Seorang bekas anggota polis dijumpai mati dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel di Jalan Syed Putra, Brickfields di sini, semalam.

Mohd Naszuani Mohd Redzuan, 32, ditemui pekerja hotel berkenaan pada 5.15 pagi, kata Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Sharul Othman Mansor.

Beliau berkata Mohd Naszuani menginap di bilik berkenaan sejak 19 Feb lepas.

“Polis mendapati tingkap bilik itu terbuka. Kami turut menemui plastik yang dipercayai berisi dadah jenis Methamphetamine dalam bilik itu,” kata Sharul ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata semakan lanjut melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mendapati Mohd Naszuani berpangkat konstabel dibuang kerja pada Jun tahun lepas kerana terlibat dengan kesalahan dadah.

Mohd Naszuani berkhidmat dengan polis sejak 2012 dan kali terakhir bertugas di Bahagian Kenderaan Pusat Latihan Polis Bukit Sentosa, Selangor.

“Dia telah berkahwin dan mempunyai seorang anak… kami telah menghubungi keluarganya,” kata Sharul.

Mayat Mohd Naszuani dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA