Bekas Ketua Cawangan Antimaksiat Polis Sabah Dihukum Penjara 40 Tahun Kerana Rogol, Liwat


PUTRAJAYA – Bekas Ketua Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dikenakan hukuman penjara 40 tahun dan 15 kali sebatan kerana merogol dan meliwat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun lima tahun lepas, dalam apa yang disifatkan sebagai “jenayah kerana menurut hawa nafsu”.

Deputi Superintenden Rohaizat Abd Ani, 58, gagal dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Rayuan semalam bagi mengetepikan sabitan kesalahannya merogol dan meliwat oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, hukuman penjaranya dikurangkan separuh daripada 80 tahun kepada 40 tahun selepas panel tiga hakim mahkamah itu memerintahnya menjalani hukuman penjara bagi tiga tuduhan merogol berjalan serentak.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakilinya, berkata dengan mengambil kira potongan satu pertiga daripada hukuman penjara kerana berkelakuan baik, Rohaizat akan menjalani hukuman penjara selama 27 tahun sehingga dia berusia 85 tahun.

Rohaizat, yang memakai jaket hitam, kelihatan tenang ketika keputusan itu diumumkan mahkamah. Seorang jurubahasa mahkamah kelihatan menyampaikan keputusan itu kepadanya sebelum dia dibawa ke lokap bangunan mahkamah kemudiannya.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Kamardin Hashim mengeluarkan waran hukuman terhadap Rohaizat untuk menempatkannya di penjara memandangkan sebelum itu, dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan semalam.

Rohaizat disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen bagi empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat remaja berkenaan, yang didakwa dilakukannya di Tang Dynasty Hotel, Kota Kinabalu antara 1 Feb 2012 dan 6 Mei 2012. Selepas gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi, Rohaizat mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara 20 tahun terhadapnya bagi setiap kesalahan dan tiga kali sebatan rotan, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua kerana merogol dan meliwat mangsa bawah umur itu, dengan hukuman penjara diperintah berjalan serentak, dan hukuman penjara 20 tahun serta tiga kali sebatan bagi setiap tiga kesalahan merogol, yang dilaksanakan secara berturut-turut.

Mohd Zawawi menolak rayuan Rohaizat berhubung sabitan kesalahannya, tetapi membenarkan rayuannya agar hukuman penjara dikurangkan dan memerintahnya menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi tiga pertuduhan merogol secara serentak, bukan secara berturut-turut.

Rohaizat diperintah mula menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi tiga kesalahan merogol setelah selesai menjalani hukuman penjara bagi dua kesalahan pertama.

Mohd Zawawi berkata terdapat cukup keterangan bagi menyokong sabitan kesalahan Rohaizat.

Pada satu peringkat semasa prosiding, Mohd Zawawi menyifatkan kes itu sebagai “jenayah kerana menurut hawa nafsu” apabila timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah bahawa Rohaizat adalah bekas pegawai penguat kuasa undang-undang.

Hamdan berkata mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan tiada sebab baginya untuk membabitkan Rohaizat, serta menambah bahawa mangsa menangguhkan membuat laporan polis kerana takut mereka tidak mempercayai ceritanya.

Terdahulu, Geethan Ram, dalam hujahnya berkata, remaja itu membabitkan Rohaizat kerana marah kepada emaknya, yang menerima sokongan kewangan daripada Rohaizat.

Katanya, terdapat percanggahan dalam keterangan remaja berkenaan, yang disifatkannya sebagai “orang bijak”, yang mendakwa dia dipaksa emaknya supaya melakukan hubungan seks bagi menyelesaikan hutang emaknya, tetapi emaknya memberi keterangan berbeza.

Ketika membela diri di Mahkamah Sesyen, Rohaizat menafikan dia merogol atau meliwat mangsa, tetapi mengaku melakukan hubungan seks dengan dua wanita, termasuk emak remaja berkenaan. – BERNAMA