Belum Reda Nasi Lemak Pondan, Kini Tular Nasi Lemak Gay Pula?



BELUM redalagi cerita tular mengenai Nasi Lemak Pondan, kini muncul pula Nasi Lemak Gay yang dikatakan beroperasi di sekitar kawasan Cheras, Kuala Lumpur.

Menggunakan strategi sama iaitu penggunaan nama yang boleh mencetuskan kontroversi, kini ia dilihat seakan-akan menjadi ‘trend’ sebagai taktik pelaris perniagaan pula.

Justeru, tidak hairan kalau selepas ini muncul pula nama lain yang bertentangan dengan norma-norma murni kehidupan masyarakat Malaysia berteraskan adab Timur.

Nasi Lemak Gay mula mendapat perhatian di laman sosial setelah seorang lelaki bernama Adi Yusuf menaikkan kain rentang tertera perkataan #nasi lemak gay beserta lambang bendera LGBT pada gerai nasi lemaknya.


Apa yang lebih menjelikkan ialah lelaki itu turut meletakkan beberapa gambar swafoto ‘gersang’ dengan disertakan sekali nombor telefon untuk WhatsApp dan nama akaun Facebooknya.

Gerai nasi lemak yang berlokasi di hadapan stesen minyak Petronas Taman Segar, Cheras itu menyaksikan dia seolah tidak lagi berselindung dan malu mengakui dirinya sebagai gay.

Rata-rata netizen mula mencemuh dengan pelbagai reaksi negatif dan mempersoalkan tindakan peniaga seperti ini yang sesuka hati mempersendakan hukum agama.

“Lepas ni jangan hairan la kalau ada nasi lemak pelacur ke… Kalau tuhan nak turut bala, Pak Lebai pun tak terkecuali. Macam Kat Acheh dulu. Semua kena kan…sekejap sangat kita lupa,” tulis Tun Carlos.

Mierull Razali pula berkata: “Lepas ni nasi lemak tomboy? Nasi lemak gigolo? Hadoi kenapa hanat sangat ni, memang mintak kena kecam ke ape?”


Sementara Nursyamimi pula menambah: “Jap lagi Nasi Kerabu Lesbian…hahaha😂, cukup-cukup lah tu.”

Bukan bersikap prejudis, tetapi perbuatan yang terang-terangan mempersendakan hukum agama ini sepatutnya tidak berlaku di dalam perniagaan.

Mungkin tidak lama lagi, akan ada pihak-pihak berwajib dan pengamal agama akan mengeluarkan pendapat mengenai hal ini. Jadi kita hanya perlu tunggu dan lihat tentang fenomena yang semakin menjadi-jadi ini. –Kedahnews.com