"Berkerut Dahi" Lihat "Khadam" DAP Hentam PAS


ALOR SETAR - Tindakan parti-parti pembangkang yang bersekutu di dalam Pakatan Harapan yang bertali arus secara konsisten menghentam PAS setiap hari telah membuat para pemimpin PAS "berkerut dahi" melihat betapa setianya mereka kepada DAP.

Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, meskipun DAP sudah semakin kendur menghina PAS, namun parti-parti sekutunya yang dipercayai merujuk kepada Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagaikan "khadam" menyerang parti Islam tersebut.

"Apa yang membuatkan dahi kita berkerut ialah, sudah hampir pupus suara DAP menghina PAS, tetapi khadamnya sangat setia berkhidmat kepada tuannya pula tetap istiqamah menghentam PAS.

"Untunglah DAP," sindir Mohd Nor dalam satu kenyataan yang tersiar di laman rasmi PAS, Harakahdaily, semalam.

Kata Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu itu, serangan-serangan tersebut tidak hanya melibatkan orang luar sahaja, malah PAS juga kini terpaksa berdepan dengan saki-baki kumpulan penentang yang keluar dari parti berkenaan kira-kira dua tahun lalu.

Menganggap saki baki kumpulan itu yang disifatkan sebagai "daki" yang tertinggal di dalam PAS, beliau menegaskan bahawa mereka kini baru menampakkan wajah sebenar dan menanti untuk "dibersihkan" dari PAS.

"Racauan itu tidak hanya terhad kepada pembenci luar sahaja, malah pembenci dalaman juga. Mungkin saki baki daki tinggalan kumpulan penentang dahulu, baharu kini timbul untuk dibersihkan," katanya menyindir "pengacau dalaman" PAS itu.

PAS baru-baru ini menganggap PKR sebagai "duri dalam daging" ekoran menjalin hubungan yang lebih akrab dengan Pakatan Harapan selain enggan menerima pelawaan PAS untuk meninggalkan gabungan pembangkang itu dan menyertai Gagasan Sejahtera pimpinan PAS.

Selain itu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sejak akhir-akhir ini menyerang PAS secara terbuka ekoran ketegasan PAS mempertahankan pendiriannya untuk enggan bekerjasama dengan DAP dan PAN.

Manakala DAP dan PAN pula saling bertukar-tukar giliran menyerang PAS dan menuduh parti tersebut sebagai mementingkan diri sendiri dalam usaha Pakatan Harapan menyatukan parti pembangkang untuk merampas kuasa pentadbiran negara.

Walau bagaimanapun, PAS sehingga kini masih istiqamah enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan menegaskan bahawa matlamat politik PAS adalah berjuang mendapatkan redha Allah berbanding mengejar kuasa politik seperti parti pembangkang yang lain. - Kedahnews.com