Bersama Mahathir, PAN Kedah Sedia "Bertempur" 3 Penjuru


ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (PAN) telah bersiap sedia bergabung kekuatan mereka bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan PPBM untuk bertempur dalam saingan tiga penjuru pada PRU ke-14 nanti.

Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohamad Zawawi berkata, PAN sememangnya sudah bersedia menggempur PAS dan Barisan Nasional (BN) dalam misi mendapatkan kuasa mentadbir Kerajaan Negeri di Kedah.

“Kami bersedia untuk pertandingan tiga penjuru,” katanya dalam satu kenyataan beliau yang dipetik menerusi akhbar arus perdana, semalam.

Sementara itu, dalam kenyataan berkaitan, beliau memberitahu bahawa Pakatan Harapan yang diketuai DAP telah mengadakan rundingan untuk kali keempat membincangkan mengenai pembahagian kerusi di negeri ini.

Ujarnya lagi, Sekretariat Pakatan Harapan di Kedah juga telah ditubuhkan dan ia diketuai oleh Dr Abdul Rahman Ahmad.

Selain itu,  Phahrolrazi turut mendedahkan bahawa beliau semakin suka terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Mahathir sejak akhir-akhir ini.

“Saya sentiasa suka ucapan Mahathir. Sekarang ia lebih baik, beliau berkata perkara-perkara yang saya suka untuk dengar,” kata Phahrolrazi yang juga merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri ketika Kedah dipimpin bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

Terdahulu, Phahrolrazi pernah dilihat sebagai salah seorang yang berpotensi untuk dijadikan calon Menteri Besar dalam PAS.

Namun begitu, persaingan beliau dengan arwah Ustaz Azizan menyaksikan beliau gagal untuk mendapatkan kerusi nombor satu kerajaan negeri itu dan membuat keputusan untuk menyertai PAN kemudiannya. - Kedahnews.com