"BoboiBoy" Filem Pertama Malaysia Berjaya Tembusi Pasaran Korea


FILEM animasi BoboiBoy The Movie arahan Nizam Razak sekali lagi memecah rekod industri hiburan apabila menjadi filem tempatan pertama berjaya menembusi pasaran Korea Selatan.

Filem karya Animonsta Studios Sdn. Bhd., atau kini dikenali sebagai Monsta ini akan mula ditayangkan di lebih 100 pawagam di Korea Selatan, mulai hari ini.

Menurut Ketua Penjenamaan dan Pemasarannya, Faiz Zainal Aabidin, Korea merupakan negara kelima menayangkan filem BoboiBoy selepas Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Kita biasanya mendengar hanya filem atau drama Korea yang dibawa masuk ke negara ini, namun jarang sekali ataupun belum ada filem Malaysia yang berjaya menembusi pasaran Korea Selatan.

“Justeru, perkembangan ini sesuatu yang boleh dibanggakan oleh industri perfileman tempatan, khususnya dalam sektor animasi negara,” katanya seperti yang dipetik di BH Online.

Tambahnya lagi, kutipan kasar untuk tayangan di empat negara sebelum ini sudah pun mencecah lebih RM19 juta.

Oleh itu, pihak Mosta yakin kutipan tiket di Korea nanti mampu menjadikan BoboiBoy: The Movie selaku filem paling laris dalam sejarah perfileman tempatan. – Kedahnews.com