Bukan Sahaja Bijak, Malah Adik Farah Berbakat Pelbagai Bidang


BUKAN sahaja cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, malah Farah Marcella ternyata merupakan seorang pelajar yang berakhlak dan berbakat dalam pelbagai bidang.

Menurut guru disiplinnya, Suraya Abdul Rahim di SMK Seri Kota Puteri, beliau masih teringat bagaimana sering menegur Farah kerana rekod kedatangannya yang tidak sempurna di sekolah.

Namun beliau masih terharu apabila Farah menerima tegurannya dengan hati terbuka dan tidak pernah melawan.

“Dia tidak pernah melawan saya walau sekali. Dia selalu menjawab, ‘baik cikgu’, ’maafkan saya, cikgu’, ‘saya faham, cikgu’, dan saya sedar dia bukan sahaja pelajar yang pintar, malah sangat berakhlak,” katanya ketika ditemu bual bersama Farah Marcella Bandie oleh Malaysian Digest .


“Pelajar bijak yang menunjukkan akhlak mulia dan sopan santun: pada saya jarang sekali dijumpai,” beliau menambah, sambil menyatakan bahawa gadis muda itu juga berbakat dalam nyanyian, tarian dan lukisan.

“Dia boleh melukis, menyanyi dan menari (zapin). Kalaulah terlebih dahulu saya tahu tentang bakatnya, saya akan minta dia untuk melatih para pelajar di sekolah dan bukannya mengupah pelatih luar,” kata Suraya sambil ketawa kecil.

Wartawan portal itu juga turut berkesempatan melihat hasil lukisan Farah yang mana mereka begitu terpegun apabila mengetahui pelajar berusia 18 tahun itu tidak pernah menerima sebarang latihan, mahupun teknik asas dalam melukis.

Daripada hasil lukisannya, kemahiran yang dipaparkan oleh Farah menunjukkan bagaimana dia telah memahami konsep pencahayaan dan bayangan mampu mempengaruhi bentuk sesuatu objek.

“Saya suka melukis, semudah itu sahaja,” katanya tersenyum lebar.

Gadis sopan itu merancang untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di peringkat pengajian tinggi dan pada masa itulah Farah dan Suraya memaklumkan berita gembira.

“Farah akan menghadiri satu sesi temuduga dengan sebuah organisasi terkemuka pada hari Sabtu ini untuk pengajiannya dan insya-Allah kami mengharapkan yang terbaik,” kata Suraya.


Sudah tentulah pasangan guru-murid itu sangat gembira terhadap potensi masa depan Farah, namun Suraya menasihati anak muridnya itu untuk sentiasa merendah diri.

“Ingat ada orang yang tidak senasib baik seperti kamu dan jadikan kejayaan kamu ini inspirasi untuk membantu orang lain. Kerana hakikatnya, itulah sebab Allah membantu kita – supaya kita dapat membantu orang lain,” nasihatnya. –Kedahnews.com