Suspek warga Malaysia ditahan dalam satu serbuan di Kepong. |
KUALA LUMPUR - Kumpulan militan IS merancang melakukan serangan bom kereta secara besar-besaran di Lembah Klang tetapi Bukit Aman berjaya menggagalkan percubaan itu dengan tertangkapnya dua anggota kumpulan tersebut.
Dua suspek - seorang juruteknik kilang warga Malaysia berusia 41 tahun dan seorang petani warga Indonesia berusia 28 tahun - antara tujuh individu ditahan oleh Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas, Bukit Aman dalam beberapa serbuan antara 21 Februari dan 26 Februari lalu.
Sumber berkata suspek warga Indonesia yang juga pakar dalam pemasangan bom telah menerima arahan daripada anggota militan IS, Mohamad Wanndy Mohamad Jedi di Syria untuk menyediakan peranti letupan dibawa kenderaan (VBIED).
"Polis telah memantau suspek sejak dia memasuki Malaysia pada 18 Februari lalu. Dia ditahan sebelum berjaya mengumpul bahan-bahan yang diperlukan untuk memasang VBIED," kata sumber.
Difahamkan rancangan kumpulan militan itu gagal kerana masalah komunikasi dengan Mohammad Wanndy dan tindakan pantas pihak polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua suspek itu ditahan di Kepong pada 21 Februari lalu.
"Mereka diarahkan untuk menyediakan peranti letupan dibawa kenderaan (VBIED) untuk serangan di Malaysia sebelum membuat perjalanan ke Syria untuk menyertai IS di sana.
"Warga Indonesia sebelum ini diusir keluar dari Turki kerana cuba memasuki Syria secara haram," katanya.
Khalid berkata lima lagi yang ditahan dalam serbuan itu adalah seorang lelaki Asia timur berusia 37 tahun dan empat warga Yaman.
Suspek dari Asia timur itu ditahan pada 23 Februari lalu.
"Suspek memasuki Malaysia pada 2011 menggunakan visa pelajar dipercayai palsu, dan mendaftar di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Lembah Klang.
"Dia mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Asia timur yang menjadikan Malaysia sebagai transit dan tempat persembunyian," kata Khalid.
Sementara itu, manakala empat warga Yaman ditahan di Cyberjaya pada 26 Februari.
"Mereka disyaki menjadi sebahagian daripada kumpulan pemberontak di Yaman.
"Mereka juga terlibat dalam sindiket yang pakar dalam memalsukan dokumen perjalanan," kata Khalid.
Dalam serbuan yang dijalankan, turut dirampas adalah pasport antarabangsa dan pelbagai mata wang asing berjumlah RM270,000.
Sumber: mStar