Cadangan Bantu 6,000 Ibu Tunggal Di Perlis Bertemu Jodoh, Terbela


ALOR SETAR - Perlis sedang mencari kaedah terbaik bagi tujuan memudahkan perkahwinan dan pencarian jodoh bagi membantu kira-kira 6,000 ibu tunggal untuk mendapat pasangan mereka di negeri itu.

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, antara cadangan yang diutarakan adalah dengan mewujudkan urusetia yang berperanan membantu dan memudahcara golongan lelaki untuk mencari jodoh di kalangan ibu tunggal di sana.

"Ibu tunggal di Perlis ada yang berusia seawal 20-an sehinggalah 40-an. Ini membuka peluang kepada lelaki yang ingin mencari pasangan yang halal.

"Semoga kerjasama ini membantu ke arah kebaikan," kata beliau sejurus menerima kunjungan dari Persatuan Ibu Tunggal Perlis di pejabatnya di Kangar, semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Asri menjelaskan bahawa langkah tersebut bukan saja mampu menghidupkan kembali sunnah perkahwinan yang diamalkan Rasulullah SAW suatu masa dahulu, malah dapat memberi perlindungan sewajarnya kepada ibu-ibu tunggal terbabit

Jelasnya, cadangan tersebut diharapkan dapat memberikan manfaat kepada umat Islam di negeri itu selain bertujuan memelihara institusi perkahwinan sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam. - Kedahnews.com