Calon Luar Lompat Parti Buat PAS Parit Buntar Serik


ALOR SETAR – Tindakan memilih calon luar seperti bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Subky Latif dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa telah membuatkan PAS Parit Buntar serik.

Disebabkan peristiwa tersebut, Yang Dipertuanya, Abdul Bahrin Mat Desa menggesa supaya Jawatankuasa PAS Pusat memilih calon tempatan untuk bertanding di kesemua kerusi yang ditawarkan di Parlimen Parit Buntar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Berdasarkan pengalaman kami sebelum ini, kerusi Parlimen Parit Buntar sentiasa ditandingi calon luar, bermula bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Subky Latif sehingga penyandang yang lompat parti baru-baru ini, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

"Tindakan wakil rakyat dipilih ahli-ahli PAS cawangan lompat parti dan menubuhkan parti baharu ternyata melukakan perasaan mereka dan PAS kawasan sememangnya serik hendak mencalonkan kembali calon luar," katanya.

Tegasnya lagi, PAS Kawasan Parit Buntar juga bersepakat untuk mencalonkan “orang PAS” untuk bertanding di kerusi DUN Kuala Kurau yang disandang Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari ketika ini.

Selain itu, Abdul Bahrin turut menggesa supaya kesemua ahli-ahli PAS cawangan agar lebih mengenali hati budi calon tempatan kerana mereka lebih istiqomah dalam perjuangan hingga akhir hayat parti Islam tersebut.

"Mereka lebih yakin dengan istiqomah perjuangan calon tempatan yang sentiasa bersama mereka pada saat kejatuhan dan kebangkitan PAS sepanjang masa.

"Selain itu, ahli-ahli perwakilan parti turut bersetuju untuk PAS bertanding di semua kerusi dipertandingkan di Parlimen Parit Buntar termasuk kerusi DUN Kuala Kurau yang ditandingi PKR sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Agung PAS kawasan itu bagi kali ke-63 semalam, gesaan itu dibuat  bagi mengelakkan kejadian 'pisang berbuah dua kali'. – Kedahnews.com