Cara Lariskan 2,400 Kek Dalam Tempoh Sehari Sahaja


TOKYO – Gara-gara tertambah satu angka "0" pada sistem pesanan kepada pembekal, seorang usahawan kek di sebuah pasar raya terpaksa menerima sejumlah 2,400 biji kek meskipun sebenarnya dia sepatutnya hanya membuat tempahan sebanyak 240 biji sahaja.

Begitulah dilema yang dialami pihak pengurusan pasar raya Aizawa di Wakkanai, sebuah bandar raya di hujung utara pulau Hokkaido, kira-kira 1,473 kilometer dari ibu kota Jepun, Tokyo, menurut laporan media tempatan.

Kekhilafan tersebut bagaimanapun hanya disedari pada keesokan harinya apabila penghantar daripada kedai bakeri berdekatan pasar raya itu kemudian datang dengan membawa jumlah besar tempahan produk kek berkenaan.

“Saya tidak gurau, inilah yang sebenarnya berlaku. Kesemua kek ini tidak boleh lagi dijual selepas tamat tarikh luput dalam masa dua hari. Maka kami jual separuh harga. Sila datang dan cepat beli,” kata pemiliknya menerusi media sosial Twitter.


Tweet tersebut mengundang perasaan simpati ramai pengguna media sosial kerana pasar raya itu diketahui tidak mempunyai ramai pelanggan dan terletak agak terpencil di tepi pantai dengan kepadatan penduduk sekitarnya hanya sekadar 36,000 orang.

Bagaimanapun rayuan kecemasan usahawan itu tanpa diduga menyebabkan Aizawa diserbu ramai pengunjung selang beberapa jam kemudian susulan dari tweet tersebut menjadi tular setelah dikongsi lebih 9,000 netizen di sana.

“Ada juga pelanggan membeli lebih 100 biji dan saya terharu kerana mereka sanggup datang selepas terkesan dari tweet saya. Hasilnya semua kek habis dijual sebelum pasar raya ditutup jam 7 petang,” kata pemiliknya.

Media di negara matahari terbit itu melaporkan, kek tersebut laris serta mendapat sambutan hangat apabila dijual hanya pada harga 100 yen (kira-kira RM3.90), termasuk cukai barangan dan perkhidmatan. – Agensi