MERBOK – Negeri Kedah sinonim dengan negeri jelapang padi kerana kebanyakan rakyatnya mengerjakan sawah padi bagi menyara kehidupan.
Biarpun tanpa pendidikan tinggi namun ramai antara orang lama di negeri ini mahir dalam kegiatan membajak, menggiling tanah, menuai, membanting dan arif dalam proses menghasilkan beras, kerana ia merupakan sumber utama bagi menjana pendapatan keluarga di samping berkongsi pengalaman serta pengetahuan yang dipelajari daripada orang terdahulu.
Salah seorang daripadanya, Che Omar Seman, 74, berasal dari Kampung Lahar Kepala Buaya, Permatang Ibus Kangkung, Alor Setar bukan sahaja arif tentang selok-belok penanaman padi sebaliknya masih mempunyai peralatan tradisional penanaman padi yang kini dalam simpanannya.
Bapa kepada empat anak dan 12 cucu ini menjelaskan, tujuan menyimpan peralatan lama penanaman padi bertujuan berkongsi kesusahan dan kepayahan petani terdahulu kepada anak cucu.
“Sekitar tahun 1964, belum ada teknologi seperti traktor dan mesin padi untuk bantu urusan penanaman, sebaliknya semua dilakukan sendiri dengan kaedah manual.
“Disebabkan itu, petani memerlukan peralatan tertentu yang membantu memudahkan urusan penanaman, walaupun kini sudah tidak lagi digunakan, tetapi saya masih buat simpanan untuk dikongsi dengan generasi muda,” katanya.
Hargai barangan antik
Che Omar berkata, kebanyakan peralatan itu digantung di dinding luar dan dalam rumahnya di Taman Lembah Bujang Utama, tidak kurang juga disimpan rapi dalam almari kaca untuk dijadikan pameran buat tatapan pengunjung.
“Peralatan ini kebanyakan berasal dari mentua yang diberi kepada saya selepas bapa mentua meninggal dunia, disebabkan tiada sesiapa yang boleh meneruskan kegiatan penanaman padi pada masa itu, saya ambil alih demi menyara lapan orang adik ipar.
“Kepayahan dan kesusahannya hanya petani yang tahu, dari soal menyediakan petak semaian, menyediakan benih padi, mengerjakan sawah, menggiling dan memindahkan benih, semuanya dilakukan sendiri dengan beberapa saudara.
“Walaupun hanya tahu cara menoreh getah semata-mata (kegiatan sebelum berkahwin) namun lama-lama dah biasa tanam padi, jadi pandailah sikit-sikit,” katanya.
Menurut Che Omar, kepayahan mendapatkan sesuap nasi menjadikan dia kini lebih menghargai apa yang pernah dikerjakan berbanding kini, pelbagai teknologi telah mula memasuki bidang pertanian membolehkan kerja penanaman padi lebih mudah.
“Anak-anak zaman sekarang mudah nak makan nasi, terus ke kedai beli beras berbanding dahulu, perlukan tempoh yang panjang sebelum dapat menikmati hasilnya.
“Disebabkan itu, saya nak anak muda sekarang belajar sejarah penanaman, hargai usaha pak tani dan belajar bersyukur dengan kesenangan yang ada,” katanya.
Impi buka galeri khas
Selain peralatan pertanian, beliau juga turut menyimpan koleksi peralatan dapur dan barang antik yang sukar diperoleh kini.
Antara yang masih dalam simpanan termasuklah kuku kambing, tudung kepala, tenggala, tajak, alat penimbang, seterika lama, bekas menyimpan dokumen, penumbuk cendol, gelok (bekas air dari tempurung), kepol (sukatan beras guna tempurung), bekas pinang, celak, kuak atau senduk , tukal padi dan lain-lain.
Menurutnya, sekiranya diberi peluang dia amat berharap peralatan yang disimpan dapat dikekalkan dalam satu ruang pameran yang diusahakan sendiri sebagai tatapan generasi muda.
“Ia mungkin boleh memberi kesedaran kepada mereka tentang kepayahan dan kesusahan yang terpaksa dilalui petani zaman dahulu dalam mengerjakan sawah padi bagi menyara kehidupan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian