Chong Wei Ke Final All England, Lin Dan Kandas


KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, terpaksa berhempas pulas sebelum dapat meraih slot final Kejohanan Badminton All England apabila menerima tentangan sengit daripada Chou Tien Chen dari Taiwan pada perlawanan separuh akhir di Birmingham, Sabtu.

Chong Wei bermula baik pada awal perlawanan bagaimanapun ketinggalan lapan mata sebelum tewas pada set pertama 10-21 dan bangkit dalam dua set seterusnya dengan catatan 21-14 dan 21-9.

Dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Supersport, Chong Wei mendapat sokongan padu daripada peminat Malaysia dan tempatan pada perlawanan yang berlangsung di Barclaycard Arena itu.

Pemain nombor satu dunia itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam pertemuan dengan pemain nombor sembilan dunia itu.

Chong Wei menghampiri gelaran keempat All England selepas memenanginya pada 2010, 2011 dan 2014.

Sementara itu, Lin Dan gagal mara ke final selepas pemain China itu tersingkir di separuh akhir awal pagi tadi.

Juara Olimpik itu tewas kepada rakan senegaranya, Shi Yuqi, 24-22, 21-11 dalam aksi sengit di Arena Barclaycard, Birmingham.

Perlawanan akhir antara Chong Wei dan Shi Yuqi dijadual pada malam ini. - Kedahnews.com