Cuma 45 Minit Untuk Chong Wei Pertahan Kejuaraan All England

 
ALOR SETAR - Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei membuktikan usia bukan penghalang mengecapi kejayaan dalam karier badminton apabila berjaya menjuarai terbuka Seluruh England 2017 malam tadi.

Datuk Lee Chong Wei menundukkan pemain perseorangan China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 di Barclaycard, Birmingham dalam tempoh hanya 45 minit.

Status Chong Wei sebagai pemain nombor satu negara itu tidak di sia-siakannya apabila membenam pemain muda yang berumur 21 tahun itu secara 'straight set' sekaligus menamatkan kemarau tiga tahun untuk meraih kejuaraan terbabit.

Sungguhpun begitu, ia merupakan kemenangan Chong Wei kali ke-empat dalam menjuarai terbuka Seluruh England iaitu pada tahun 2010, 2011, 2014 dan 2017.

Keputusan tersebut menyaksikan pemain berusia 34 tahun itu tidak berikan peluang kepada pemain muda China tersebut mencipta nama selepas tewas di tangan Chong Wei pada Terbuka Kanada 2015 dan Terbuka Jepun 2016.

Selain itu, Chong Wei juga mengesahkan bahawa dia akan kembali ke pentas Terbuka Seluruh England tahun hadapan.

"All-England adalah kejohanan kegemaran saya.

"Saya berharap akan temui anda semua tahun hadapan," ujar Chong Wei ketika ditemu ramah pengacara sejurus habis perlawanan.

Kepastian Chong Wei untuk kembali bersaing di arena yang sama turut di akuinya apabila mengesahkannya kepada pengacara.

"Mari kita pastikan tentang perkara ini. Lee Chong Wei akan kembali mempertahankan gelarannya?" tanya pengacara itu.

"Ya" ujar Chong Wei ringkas. - Kedahnews.com