Dakwa Ditipu RM4 Sehari, Lelaki Mengamuk Pecahkan Kedai Guna Kayu Golf


SIBU – Seorang lelaki yang tidak dapat menahan kemarahannya selepas kredit telefon prabayarnya susut RM4 setiap hari bertindak memecahkan pintu kaca dan beberapa telefon bimbit di dua cawangan kedai sebuah syarikat telekomunikasi di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, suspek bertindak merosakkan premis di Jalan Wong King Huo sebelum memecut kenderaan jenis Hilux ke sebuah lagi pusat khidmat telekomunikasi sama di Jalan Keranji dan memecahkan pintu hadapan premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Saiful Bahari Abdullah berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu berjaya ditahan di sebuah lokasi di Jalan Belian kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengamuk kerana tidak berpuas hati apabila mendakwa kredit prabayarnya berkurangan sebanyak RM4 setiap hari.


“Polis berjaya menjejaki suspek yang bekerja di sebuah pusat hiburan di sini dan merampas kayu golf yang digunakan untuk merosakkan premis,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, video kejadian berkenaan menjadi tular di media sosial dengan memaparkan suspek memecahkan pintu kaca di sebuah premis syarikat telekomunikasi di Sibu, Sarawak.

Situasi menjadi tidak terkawal apabila suspek memecahkan cermin premis dan pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian turut beredar kerana bimbang dicederakan. –Kedahnews.com