KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang membayangkan pluralisme akan menjadi asas kepada pemerintahan Malaysia jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Malah, pemimpin veteran DAP itu tanpa berselindung menegaskan pluralisme adalah kekuatan Malaysia yang perlu diterima oleh seluruh rakyat negara ini termasuk penganut agama Islam.
“Kepelbagaian dan pluralisme sebenarnya kekuatan dan aset Malaysia yang unik.
“Jika kita menerima Malaysia sebagai masyarakat plural, maka tidak ada ruang untuk rakyat Malaysia anti mana-mana kaum, agama atau budaya,” dakwanya dalam satu kenyataan semalam.
Kit Siang dalam pada itu menegaskan bahawa seluruh rakyat Malaysia perlu berhenti berfikir bahawa mereka adalah kaum Melayu, China, India, Kadazan atau Iban. .
Kata beliau, setiap rakyat Malaysia perlu menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, agama, bahasa, budaya dan tamadun.
Ramai cendiakawan Islam sejak berpuluh tahun lalu melahirkan kebimbangan terhadap rancangan kelompok tertentu mahu menerapkan semangat pluralisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Mereka berpandangan pluralisme akan turut menyebarkan fahaman bahawa semua agama adalah sama maka kebenaran (hak) tidak hanya dalam Islam tetapi agama-agama lain juga.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyeru rakyat Malaysia bertanya kepada Penasihat DAP apakah jenis demokrasi yang beliau ingin laksanakan di Malaysia.
Hamzah dipetik berkata, rakyat perlu juga bertanya kepada pemimpin DAP itu sama ada beliau akan mengubah nama Malaysia kepada Republik Demokratik Rakyat Malaysia jika Pakatan Harapan berjaya memerintah negara ini.
Hamzah turut mengingatkan Kit Siang yang mendominasi DAP sebagai seorang pemimpin diktator sejak 51 tahun lalu masih memegang impian untuk menubuhkan sebuah negara republik jika berjaya menakluki Putrajaya.
Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan parti pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan terbaru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
PAS walau bagaimanapun bertegas tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, sebaliknya kekal mengetuai blok ketiga pembangkang, Gagasan Sejahtera, bersama Parti Ikatan. -Kedahnews.com