DAP Dicabar Supaya "Arah" Sekutu Pakatan Harapan Tolak RUU 355


ALOR SETAR – MCA Selangor bertindak mencabar DAP negeri tersebut agar "mengarahkan" sekutunya dalam Pakatan Harapan agar menyatakan pendirian menolak Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 355 daripada terus dibentang di Dewan Rakyat oleh PAS.

Setiausaha MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin berkata DAP perlu mendapatkan persetujuan rakannya termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR dalam usaha menentang RUU 355.

Malah, ujarnya lagi mereka juga mempunyak hak untuk memberi tekanan kepada PAS agar menarik semula pindaan tersebut.

“DAP gabungan kukuh dalam kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan, jadi mereka mempunyai kuasa buat desakan tersebut demi kebaikan semua pihak.

“Pada masa sama, DAP juga harus beri tekanan kepada sekutu mereka iaitu PAS dan Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang agar menarik balik cadangan pindaan akta itu di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Chok Sin turut mempertikaikan bagaimana DAP masih boleh berlembut dengan PAS sedangkan mereka tidak bersetuju dengan agenda utama parti Islam tersebut.

Tambahnya, ia sama sahaja seperti memberi nyawa kepada PAS di Selangor dan DAP bagaikan bertindak "pengecut" untuk menunjukkan dan menggunakan kuasa yang dimiliki mereka.

“Jika PAS masih kekal dalam kerajaan Selangor, ini bermakna Pakatan Harapan masih memberi talian hayat kepada mereka.

“Talian hayat ini perlu dimatikan, bahkan DAP kerap dakwa mereka miliki kekuatan politik di Selangor sejak 2008 jadi mereka harus tunjuk kuasa mereka terhadap kedudukan PAS di negeri ini,” cabarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, MCA menyeru agar DAP bertindak sewajar dengan apa yang pernah dituntut mereka terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum ini.-Kedahnews.com