DAP Kata BN Akan Jadi Pembangkang Lepas PRU Ke-14


ALOR SETAR – DAP mendakwa UMNO-BN buat pertama kalinya bakal menjadi pembangkang selepas tamat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sekaligus menggantikan tempat mereka yang sekian lama menjadi pembangkang.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong membuat rumusan hasil daripada kajian pihaknya dan mendapati UMNO-BN bakal mencipta sejarah apabila pasca pilihan raya kali ini  menyaksikan mereka menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.

"Strategi ‘ketuanan Melayu’ UMNO tanpa menghiraukan sensitiviti parti komponen BN lain antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan teruk MCA, MIC dan Gerakan dalam PRU 2008 dan 2013.

"Ia ditambah dengan kegagalan UMNO memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sejak 2013 sehingga dilihat terpaksa bekerjasama dengan PAS bagi mewujudkan pola penentangan antara Melayu dan bukan Melayu," jelas Chin Tong dalam blognya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kluang itu yakin bahawa "tsunami politik" yang terbesar bakal berlaku dan bakal mempersembahkan kemenangan besar berpihak kepada pakatan pembangkang.

Tambahnya, tidak mustahil kemenangan yang berjaya dicipta pakatan pembangkang dalam dua pilihan raya umum sebelum ini boleh berulang sekali lagi.

Selain itu, Pengerusi DAP Johor itu turut berharap agar kejayaan dapat tercipta hasil "gabungan" PAS dan UMNO bagi membentuk satu kerajaan yang baharu.

Pemimpin DAP Johor itu turut menegaskan bahawa pakatan pembangkang kini memfokuskan dan komited untuk memberi saingan yang hebat untuk merampas Kedah dari UMNO-BN, dengan memberikan tumpuan lebih "menakluk" Langkawi dan Kubang Pasu.

Selain kawasan berkenaan, Pakatan Harapan dan PPBM juga mahu menguasai kubu kuat BN seperti  Parlimen Kulim-Bandar Baru, Pendang, Merbok, Baling, Sik, Jerlun dan Padang Terap.

Kedah merupakan antara negeri yang menjadi sasaran dalam usaha Pakatan Harapan untuk mengejar kuasa politik pada PRU ke-14 nanti. -Kedahnews.com