DAP Makin Menonjol Bermusuhan Dengan Islam - Pemuda PAS


SHAH ALAM - Pemuda PAS menyifatkan sikap DAP yang semakin ketara menonjolkan permusuhannya kepada Islam apabila mempertikai setiap perkara dan urusan yang ada hubung kait dengan agama.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, DAP telah meletakkan jurang berbezaan begitu ketara apabila memperlekeh setiap perkara yang melibatkan isu agama.

“Ahli Parlimen DAP Kuching, Chong Chieng Jen yang mempertikaikan penempatan guru Pendidikan Islam dari Semenanjung ke Sarawak yang dilihat tidak lagi relevan.

“Pengambilan atau penempatan sedemikian telah berlaku sekian lama, bahkan turut melibatkan kakitangan atau pegawai dari jabatan lain.

“Tidak pernah kedengaran situasi seperti itu hingga mempengaruhi, mencemar apatah lagi merosakkan pemikiran, budaya dan falsafah daripada perbezaan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk silibus diguna pakai adalah seragam dan standard di seluruh negara, selain para guru turut tertakluk atas tatasusila yang khas.

“Jika terjadi prejudis dan unsur-unsur sebagaimana didakwa, sila kemukakan bukti.

“Beliau sengaja mencipta kesangsian di antara kaum-kaum di Malaysia. Apa yang dikemukakan DAP mutakhir ini jelas satu bentuk memperlekeh, memalit imej buruk dan campur tangan jelik yang boleh mengundang rasa tidak puas hati serta melebarkan lagi jurang perbezaan,” katanya.

Tambahnya, DAP dilihat sengaja mencipta kesangsian tersebut dan dangkal dalam mengakui serta memahami wujudnya kerencaman yang telah sebati dengan rakyat Malaysia.

Jelasnya, kenyataan seumpama itu menyerlahkan lagi doktrin politik Cauvinis atau perkauman yang didukung mereka.

Sumber: Sinar Harian