DAP Marah Gerakan “Kacau” Pemerintahan Guan Eng Di Pulau Pinang


ALOR SETAR – DAP Pulau Pinang menyatakan ketidakpuasan hati dan berang terhadap tindakan Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay yang dikatakan “buat kacau” terhadap kerajaan di negeri tersebut.

Ahli Parlimen Batu Kawan dari DAP, Kasthuri Patto "mengarahkan" Gerakan agar menghentikan tindakan membuat pertuduhan yang tidak berasas dan menuduh kerajaan negeri sengaja memperuntukkan tanah kerajaan untuk tujuan membina tempat-tempat beribadat bukan Islam.

"Kohilan tersasar jauh apabila mengatakan kerajaan negeri Pulau Pinang mahu mendapat sokongan dan tidak ikhlas selepas pengumuman memperuntukkan tanah-tanah untuk membina gereja dan kuil.

"Dakwaan tidak berasas oleh Kohilan ini hanya menunjukkan beliau memancing pujian dari kalangan rakan-rakan parti dan BN dengan membuat kritikan tidak berasas terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Kasthuri turut mempertikaikan tanah yang diperuntukkan oleh Gerakan sejak 39 tahun lalu di mana rumah beribadat bagi bukan Islam hanya beroperasi di rumah kedai dan bawah pokok sahaja.

Selain itu, beliau mendakwa rumah beribadat bukan Islam kebanyakkannya beroperasi secara haram dan bukannya konkrit kerana mereka tidak disediakan sumber tanah.

"Mungkin Kohilan harus melihat keluasan tanah yang diperuntukkan oleh Gerakan dalam tempoh 39 tahun memerintah Pulau Pinang dengan 'kedaifan' tempat-tempat beribadat bagi golongan bukan Islam.

"Banyak yang beribadat secara tidak terkawal, beroperasi secara haram dan dari lot kedai ekoran tidak ada usaha konkrit oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan sumber tanah yang diperuntukkan untuk membina tempat-tempat beribadat bukan Islam," ujarnya.

Jelasnya lagi, sepanjang 39 tahun di bawah Gerakan, rakyat Pulau Pinang bukan Islam telah hidup merana ekoran rumah ibadat untuk mereka tidak disediakan dan tanah juga tidak diperuntukkan oleh kerajaan negeri.-Kedahnews.com