DAP Sekali Lagi Angkat Wan Azizah Sebagai Calon PM Pembangkang


ALOR SETAR – DAP menegaskan sekali lagi bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan sebagai calon Perdana Menteri Malaysia pilihan pembangkang sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14 akan datang.

Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke menegaskan bahawa tidak perlu menunggu sehingga tahun 2050 untuk wanita diangkat sebagai Perdana Menteri kerana pakatan pembangkang telah bersedia untuk melakukan sedemikian.

"Kami (pembangkang) bersedia untuk menyokong Permatang Pauh (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebagai Perdana Menteri jika mendapat mandat.

"Tidak perlu tunggu 2050," kata Ahli Parlimen DAP itu, semalam.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan berharap menjelang tahun 2050 kelak Malaysia mungkin bakal mengangkat seorang wanita sebagai Perdana Menteri.

Mengulas mengenai kenyataan Khairy tersebut, Loke menyifatkan bahawa pandangan yang diberikan itu melambangkan betapa minda Barisan Nasional (BN) berada di tahap yang rendah.

"Ia melambangkan minda BN bahawa wanita hari ini tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Loke turut berhajat Malaysia mempunyai seorang speaker wanita di Parlimen, seperti yang berlaku di Selangor di mana kerajaannya melantik seorang wanita sebagai speaker dewan undangan negeri.-Kedahnews.com