Demi Kuasa, Azmin Yakin PAS Duduk Semeja Dengan PKR Lepas Muktamar


ALOR SETAR - Demi mengejar kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang menjanjikan kuasa politik di negara ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menaruh keyakinan bahawa PAS bakal kembali menjalin hubungan dengan PKR selepas Muktamar berakhir.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, sekiranya PAS mahu menang pilihan raya di negara ini, beliau optimis parti itu akan rujuk kembali untuk bekerjasama dengan PKR bagi memenuhi tujuan politik tersebut.

“Saya percaya selepas Muktamar PAS nanti, pimpinan PAS lebih bersedia dan berbincang membina persefahaman untuk menghadapi PRU ke-14.

“Apabila kita mengambil keputusan sebagai sebuah parti untuk masuk dalam pilihan raya, sudah tentulah kita nak menang. Saya tak pasti kalau ada parti politik yang nak masuk pilihan raya tapi tak nak menang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Justeru itu, Azmin yakin bahawa PAS akan kembali duduk semeja dengan PKR menjelang pilihan raya untuk membincangkan strategi sesama parti pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14 nanti.

“Ia memerlukan satu pertemuan segera bagi tujuan tersebut sebab masa semakin suntuk dan pilihan raya semakin hampir. Sebab itu kita mengajak semua pihak berbincang bagi mencapai satu konsensus,” katanya lagi.

PAS sebelum ini menegaskan bahawa mereka tidak akan menggadaikan maruah dan perjuangan sekali lagi untuk bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) yang dikatakan sebelum ini hampir menghancurkan parti Islam itu.

Parti itu turut menegaskan pendirian mereka yang mencari redha Allah dan tidak pernah takut untuk tewas pilihan raya hanya kerana mengejar kuasa politik di negara ini. -Kedahnews.com