Denda RM237 Juta Terhadap Penyebar Berita Palsu Di Jerman


BERLIN – Kerajaan Jerman berhasrat mengenakan hukuman denda terhadap pentadbir maya yang didapati gagal membendung kenyataan berbaur kebencian, kandungan haram dan berita palsu.

Usul itu dicadangkan Menteri Kehakiman Jerman, Heiko Maas menerusi satu rang undang-undang yang bakal dibentangkan di Parlimen dengan saranan denda lebih tinggi berbanding 500,000 euro (RM2.4 juta) sekarang.

Ia merupakan antara sebahagian daripada usaha kempen Jerman untuk membanteras aktiviti penyebaran bahan berniat jahat dan maklumat bohong menerusi talian dalam kalangan netizen yang tidak bertanggungjawab.

Ini termasuk meningkatkan denda sehingga 50 juta euro (RM236.5 juta) ke atas syarikat pentadbir media sosial seperti Facebook dan Twitter jika didapati gagal memadamkan catatan jelik ditulis pengguna akaun mereka.

“Kita perlu menambahkan lagi tekanan ke atas rangkaian sosial. Kita perlu peraturan undang-undang untuk membuat syarikat siber yang lebih diwajibkan untuk membasmi kesalahan jenayah maya,” kata Maas.

Sebagai langkah pencegahan, setiap laman perlu membuang material yang dianggap keterlaluan dalam masa seminggu dan mewujudkan talian bantuan 24 jam untuk aduan daripada pengguna akaun masing-masing.

Bahan haram termasuk berbaur perkauman perlu dipadam dalam tempoh 24 jam. Setakat ini Facebook dikatakan sudah menghapuskan 39 peratus kandungan negatif sedemikian manakala Twitter baharu setakat satu peratus.

Langkah-langkah tegas itu dilakukan pihak berkuasa di tengah-tengah kebimbangan bahawa pelbagai berita palsu dalam talian boleh mempengaruhi sentimen pengundi dalam pilihan raya persekutuan Jerman pada akhir tahun ini.

Facebook sebenarnya telah menambah perkakasan di Jerman yang membolehkan pengguna mengadu kandungan berisiko susulan ‘berita palsu’ di jaringan itu mempengaruhi keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat lalu.

Firma berpangkalan di San Francisco, California itu juga sudah merancang untuk mengambil 700 petugas di Berlin bagi memantau segala bahan dimuat naik netizen yang dianggap memberi ancaman menjelang akhir tahun ini.

Jika undang-undang baharu itu diwartakan, pentadbir laman sosial perlu ada pekerja untuk tugas pemantauan 24 jam atau didenda 5 juta euro (RM24 juta) jika terlepas bahan salah yang disiarkan. – Agensi