"Dia Orang Johor, Bukan Dia Tahu Apa-Apa Pasai Orang Kedah," - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Pemimipin DAP boleh cakap apa saja yang mereka suka, namun hanya pemimpin yang merupakan anak jati Kedah saja yang mampu memahami dan memenuhi kehendak rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, DAP tidak tahu apa-apa tentang orang Kedah dan tidak seperti pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendampingi masyarakat tempatan serta mengenali budaya pemikiran mereka.

"Dia orang Johor, dia bukan tahu apa-apa pasai (fasal) orang Kedah.

"Dia boleh cakaplah dia duduk jauh. Dia tak tahu perasaan, dia tak tahu citarasa pengundi di sini," katanya membidas keyakinan DAP dan rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan.

Ahmad Bashah berkata, pemimpin Kedah sejati amat arif tentang keperluan dan kehendak rakyat di negeri ini dan tidak seperti mereka yang hanya "berkokok" dari jauh, namun tidak tahu tentang apa yang mereka perkatakan.

"Kedah ni kita tahulah bagaimana untuk uruskan, kita tahu pengundi-pengundi rakyat Kedah... Kita tahu hati budi dan perasaan para pengundi di negeri kita.

"Kita pun tahu tentang sentimen rakyat Kedah pada DAP dan parti 'bunga' (PPBM) ini," ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang berjaya menyatukan rakyat Kedah untuk kembali memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Menteri Besar itu diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong yang sebelum ini mendakwa kajiannya menunjukkan Kedah berpotensi tinggi untuk dirampas Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti.

Selain itu, Pemimpin DAP Johor tersebut turut mendakwa bahawa beberapa kawasan Parlimen di Kedah bakal ditawan Pakatan Harapan dan sekutu rapatnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelak.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika melakukan menziarahi pesakit tuberkulosis (TB) bersempena Hari Tuberkulosis Sedunia yang jatuh pada 24 Mac ini, di Hospital Besar Alor Setar (lama), di sini hari ini. - Kedahnews.com