Dibantu HSB, Pesakit Koma Selamat Jalani Pembedahan

Annaproni menunjukkan gambar adik lelaki mereka.
ALOR SETAR - Seorang pesakit koma yang terlantar di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, akibat kemalangan pada 11 Mac selamat menjalani pembedahan pada Sabtu lepas.

Kakak mangsa, D Annaporni, 26, berkata, adik lelakinya, D Rajesh, 22, menjalani pembedahan kira-kira jam 12 tengah hari untuk memasukkan besi pada bahagian tulang belakang dan leher.

“Sebelum ini, kami memerlukan RM10,000 untuk membiayai kos pembedahan Rajesh, tetapi adik akhirnya dapat dibedah segera dengan bantuan pihak hospital yang mengurangkan bayaran tersebut.

“Buat masa ini, dia masih belum sedarkan diri sepenuhnya kerana hanya mampu membuka mata sekali-sekala, manakala kaki tangan masih tidak menunjukkan pergerakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka berasa lega kerana adik lelaki dapat dibedah segera untuk memperbetulkan kedudukan tulang belakang Rajesh yang tercedera semasa kemalangan, dan membolehkan dia bernafas lebih baik.

Sebelum ini, media melaporkan kebimbangan sebuah keluarga yang memerlukan dana kewangan untuk membolehkan pesakit koma menjalani pembedahan.

Menurut Annaporni, adik lelaki dikhuatiri akan koma seumur hidup ataupun mengalami kesukaran bernafas, sekiranya tidak menjalani pembedahan segera memasukkan plate di badannya.

Mereka memohon bantuan kewangan segera kerana tidak berkemampuan membiayai kos pembedahan itu, kerana masing-masing hanya bekerja sebagai pembantu kedai untuk menyara hidup.

Sumber: Sinar Harian