Dua Langkah Segera Atasi Masalah Bekalan Air Di Kedah - Exco


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengambil langkah drastik untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan terjejas di sekitar negeri ini dengan melaksanakan dua langkah segera dengan kerjasama erat Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, dua langkah berkenaan adalah yang pertamanya dengan mempertingkatkan jumlah kekerapan penghantaran air oleh SADA ke kawasan-kawasan terjejas di sekitar negeri itu.

Keduanya pula adalah menerusi program Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) yang diperkenal kerajaan negeri pada tahun lalu dengan menyediakan tong air statik secara percuma kepada rakyat yang layak di kawasan yang menghadapi masalah bekalan air bersih.

"Untuk mengatasi masalah yang timbul dari sudut langkah penyelesaian jangka masa pendek, kita buat keputusan untuk memastikan jumlah kekerapan untuk penghantaran air dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan rakyat terjejas.

"Kita sudah mengarahkan SADA untuk mempertingkatkan kekerapan penghantaran air itu ke rumah-rumah yang mengalami tekanan air rendah, khususnya di kawasan yang terputus bekalan air.

"Keduanya, menerusi program BARAKAH, kita akan belikan tong-tong air untuk ditempatkan di SADA. Jadi pejabat Adun akan kenal pasti siapa yang layak untuk diberikan tong-tong air berkenaan," jelasnya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

Badrol Hisham berkata demikian ketika ditemubual Kedahnews.com sejurus selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Wisma Darul Aman, di sini lewat petang semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka-mereka yang dikenal pasti layak oleh pejabat Adun, untuk menerima bantuan tong air tersebut boleh hadir ke pejabat SADA untuk mengambilnya.

"Tetapi perlu dapat pengesahan dari pejabat Adun, Ketua Bahagian (UMNO) dan pengerusi JKKK di kawasan masing-masing.

"Kita tak mahu mereka yang mampu beli tong air itu pun ambil kesempatan dari sudut bantuan bagi mereka yang kurang berkemampuan ini," jelas Badrol Hisham.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang itu, kawasan yang paling kritikal terjejas bekalan air bersih yang dikenal pasti adalah di Parlimen Merbok.

"Di Kuala Nerang pun ada juga kawasan yang menghadapi masalah, tapi tidaklah terjejas teruk seperti di kawasan Merbok," ujar beliau.

Menurutnya, punca masalah sebenar di kawasan berkenaan adalah disebabkan kebergantungan kawasan itu terhadap sumber bekalan air dari bawah tanah yang akan kering khususnya ketika musim kemarau melanda.

"Jadi bila kemarau panjang berlaku, tiada sumber lain untuk disalurkan melainkan air bawah tanah itu. Kerana itulah kawasan tersebut paling terjejas dan kita berikan keutamaan untuk mangatasi masalah di kawasan tersebut," katanya lagi. - Kedahnews.com