Jika sesiapa meneliti sejarah politik negara, kita akan tahu bahawa apa yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun hari ini sama sahaja seperti yang bapa Kemerdekaan Negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman lakukan kepada beliau.
Semasa pemerintahan Mahathir, Tunku mengkritik banyak tindakan Mahathir yang disifatkan sebagai membebankan rakyat. Ketika itu, isu-isu sama sahaja yang dibangkitkan. Negara bakal muflis, kos sara hidup tinggi, rasuah, dan kronisme.
Malah lebih teruk pada zaman tersebut Ketua Hakim Negara dan Lima Hakim Mahkamah Persekutuan telah dipecat. Walaupun Mahathir mendakwa ia bukan keputusan eksekutif, namun akhirnya pada tahun 2008 Kerajaan telah membayar ex gratia kepada keenam hakim ini.
Antara kata-kata Almarhum Tunku ketika itu:
“There is no law, no justice, no freedom of speech. Anybody who speaks out goes to prison. So he has got all the members of the opposition in prison… This is what worries me and all the responsible citizens of this country, no matter what race they come from. We are all worried. “The country is drained, dry, no more capital. People are saying in this country today, there are three big robbers – Umno robs the bank, MCA robs the co-operative societies and MIC robs the highway…” “…There is no more democracy. You say anything, you are put in (jail) and you are not allowed to reply nor allowed to hold rallies to defend yourself. Only Mahathir can go from place to place to attack us…”
Jika rakyat Malaysia mengikut cakap Tunku Abdul Rahman pada pilihan raya 1990, UMNO sudah tumbang, Mahathir tidak menjadi Perdana Menteri 22 tahun.
Pada 1989, PRK Ampang Jaya, bekas Menteri Besar Selangor, hero Melayu, Dato Harun Idris, bertanding atas tiket S46 menentang Ong Tee Keat (BN). Tunku turun berkempen untuk S46. Namun BN menang di kawasan majoriti Melayu.
Orang Melayu tidak mengundi dua pahlawan Melayu ini bukan kerana mereka tidak mengenang jasa tetapi kerana mereka mahu kerajaan yang membantu rakyat terus kekal.
Rakyat Malaysia menghormati dan mengenang jasa Tunku. Tapi bukan bermakna mereka kena ikut cakap Tunku setiap masa. Mereka tahu biar sebesar mana jasa Tunku, beliau tidak semestinya benar setiap masa.
Hari ini Mahathir mengulangi sejarah politik bapa kemerdekaan kita. Kita juga perlu mengulangi sejarah 1989 dan 1990.
Sebesar mana jasa Mahathir pun tidak sama dengan jasa Tunku. Almarhum mengorbankan harta, takhta dan segala-galanya untuk kemerdekaan negara. Tidak seorang anak Tunku pun menjadi bilionair atau jutawan seperti anak Mahathir.
Jika rakyat boleh menolak saranan Tunku pada 1990, maka tiada sebab untuk kita menerima pandangan Mahathir pada 2017 ini.
Oleh: Ab Jalil Backer