"Duri Dalam Daging": PKR Sangkal Tomahan PAS.


ALOR SETAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyangkal dakwaan PAS yang melabel parti tersebut sebagai "duri dalam daging" dalam kerjasama yang terjalin antara parti-parti pembangkang yang lain.

Pengerusi PKR Kelantan,  Ab Aziz Ab Kadir menegaskan bahawa istilah tersebut sangat tidak sesuai untuk menggambarkan PKR kerana mereka mengamalkan politik realistik dan bekerjasama dengan parti pembangkang yang berjuang demi isu kebajikan rakyat yang gagal dimainkan pemerintah sedia ada.

"Pada hemah saya kalau kata PKR 'duri dalam daging' memang istilah ini tidak sesuai untuk ditujukan kepada PKR. Kerjasama dengan parti-parti diperlukan.

"Adakah kerana mengamalkan politik realistik ini, iaitu Keadilan sanggup bekerjasama dengan parti-parti lain yang mempunyai matlamat sama untuk memperjuangkan isu rakyat yang terbukti gagal dimainkan oleh pemerintah semasa, kami dikatakan duri dalam daging ?

"Rasanya amat tidak tepat," katanya, membidas tohmahan PAS tersebut.

Sementara itu, Ab Aziz mengajak PAS agar menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha bagi mewujudkan sebuah pemerintahan yang benar-benar berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Bersama-samalah tumpukan perjuangan kita ke arah menzahirkan pemerintahan yang betul-betul mengutamakan kepentingan agama bangsa dan negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, akar umbi PAS Selangor telah mengeluarkan kenyataan PKR kini diumpamakan seperti duri dalam daging.

Maka dengan itu PAS perlu mengkaji semula hubungan yang terjalin antara kedua-dua parti tersebut dan besar kemungkinan PAS harus bersendirian.-Kedahnews.com