Dynas Jarang Berlakon Sering Dapat Watak Wanita Berusia


KUALA LUMPUR - Pelakon Dynas Mokhtar sudah jarang berlakon kerana sering diberikan watak wanita berusia berbanding umurnya sekarang.

Dynas, 34, berkata, perkara itu membuatkan dia sering menolak tawaran diberikan namun itu tidak bererti dia sudah tawar hati terhadap bidang lakonan.

"Saya memang hendak berlakon malah ada banyak juga tawaran tetapi sering diberikan watak seorang emak dan wanita lebih berusia daripada umur saya sekarang, jadi saya selalu tolak.

"Jika diberi watak sesuai dan berbeza Insya-Allah saya sentiasa terbuka untuk berlakon," katanya.

Dynas ditemui pada sidang media Hari Pengasas Ko 2017 kendalian klinik pakar kulit Dr Ko yang diadakan di Bangsar di sini, Isnin.

Bersempena sambutan itu, dengan setiap transaksi bermula dari 24 Mac hingga 30 April depan, klinik itu akan menderma RM1 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Anak-Anak Sakit Kanser Malaysia.

Dalam pada itu, Dynas memberitahu walaupun tidak berlakon dalam drama dia bakal muncul dalam tiga buah filem tidak lama lagi.

Walaupun bukan watak utama, Dynas berpuas hati kerana peranan diberikan berbeza dan menepati kehendaknya.


Dalam perkembangan peribadi, Dynas belum merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai Shazrin.

“Tiada ke arah perkahwinan lagi buat masa ini dan jika ada jodoh Insya-Allah.

“Paling penting buat masa ini adalah anak-anak saya dan ingin beri mereka masa menyesuaiakan diri terlebih dahulu,” katanya.

Dynas sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd Hafizi Mohamed pada 15 Mac 2008 namun bercerai pada 25 Februari 2014.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Khyra Khalyssa, 7, dan Mohamed Haqaish yang berusia lima tahun.

Sumber: mStar